Politeisme didefinisikan sebagai suatu bentuk kepercayaan bahawa adanya lebih daripada satu Tuhan (Kamus Dewan, 2004) Dalam erti kata yang lain, politeisme adalah pemujaan banyak tuhan seperti dewa-dewi, roh, atau arca yang dipuja di tempat-tempat ibadat, disertai dengan ritual dan upacara, serta mitologi tertentu (Kohara, K. 2006, 1). Secara etimologi, istilah politeisme berasal daripada bahasa Yunani iaitu poly dan theoi. Gabungan ini membawa maksud "banyak tuhan". Dalam kebanyakan agama yang menerima politeisme, tuhan-tuhan, daripada kalangan dewa-dewi yang berbeza adalah dianggap sebagai perwakilan kuasa-kuasa alam. Ia dapat dilihat, sama ada secara berautonomi, muncul di mata kasar, atau pancaran (Ulrich L, 2007, 42).