Pembelajaran abad ke-21 merupakan wahana penting dalam menambah baik amalan pedagogi para pendidik dalam pengajaran dan pemudahcaraan di bilik darjah bagi menjana kemenjadian murid dari aspek kognitifnya. Dalam konteks ini, guru-guru perlu mengetahui dan mengamalkan elemen-elemen PAK21 seperti elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti, nilai murni dan etika dalam pelaksanaan PdPc. Murid-murid juga perlu didedahkan dengan kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran menyelesai masalah, keusahawanan, pemikiran kritis dan kreatif. Misalnya, susun atur kerusi meja secara berkumpulan merupakan alternatif untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dan berkolaboratif antara satu sama lain secara aktif. Hal ini bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (Malaysia, 2013) untuk melahirkan generasi masa depan yang berfikiran kritis, kreatif, mampu menyelesaikan pelbagai masalah, berkeupayaan untuk berkomunikasi dengan berkesan dan boleh berkolaboratif dengan rakan-rakan.