Pendidikan merupakan suatu usaha yang berterusan, di mana individu itu harus sentiasa berusaha secara berterusan memantapkan pengetahuan dan kemahiran yang harus meliputi segala bidang kehidupan seperti rohani, jasmani, moral, bakat, minat, sosial, ekonomi dan politik. Dalam kata lain, pendidikan sebagai usaha berterusan ialah pendidikan sepanjang hayat di mana proses pendidikan seseorang itu bermula sejak lahir dan hanya akan berakhir apabila seseorang itu meninggal dunia. Dalam pengertian ini, umur bukanlah batasan untuk seseorang itu untuk terus belajar. Anggapan bahawa pendidikan itu terhenti selepas meninggalkan bangku sekolah mahupun menara gading adalah mentaliti negatif masyarakat yang tidak relevan dan tidak realistik terhadap dunia pendidikan. Implikasi daripada mentaliti ini akan menyebabkan masyarakat akan ditelan arus perubahan global yang seterusnya akan mundur dari segi ketamadunan. Realitinya, manusia tidak akan pernah berhenti belajar sama ada secara formal atau tidak formal.