Kesusasteraan Melayu merupakan hasil karya masyarakat Melayu yang mempunyai kata-kata yang indah, menyampaikan mesej serta menggambarkan perasaan dan keadaan sama ada mengenai diri sendiri ataupun sekelompok masyarakat.
Sastera ditakrifkan sebagai penceritaan pengalaman, pemikiran, perasaan, idea, semangat atau kepercayaan individu yang disampaikan melalui bahasa, tidak kira sama ada bermutu atau tidak.
Malah tokoh tempatan juga turut memberikan pandagan bahawa sastera ini adalah "Ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Ia mungkin dituturkan iaitu disebut sastera lisan dan yang ditulis disebut sastera tulisan" ( Hashim Awang).
Jenis dan bentuk sastera juga mempunyai pelbagai ragam kerana ia memiliki unsur-unsur khusus yang berbeza bagi tujuan tertentu. Sastera Melayu juga dibahagikan kepada prosa tradisional, prosa moden, puisi tradisional dan puisi moden.