Please enable JavaScript.
Coggle requires JavaScript to display documents.
Huraikan faktor-faktor pembentukan Negara bangsa - Coggle Diagram
Huraikan faktor-faktor pembentukan Negara bangsa
Kemunculan Semangat Nasionalisme
Semangat nasionalisme (kesedaran kebangsaan) ialah sifat utama bagi kemunculan negara bangsa. Sebagai contoh, pada zaman kemunculan negara bangsa seseorang yang dilahirkan di Perancis berfikir sebagai seorang Perancis dan bukan sebagai seorang British atau Portugis. Para nasionalis menggunakan unsur persamaan rumpun bangsa dan bahasa untuk membentuk Negara bangsa masing-masing. Penyatuan dan pembentukan Negara bangsa merupakan matlamat akhir para nasionalis.
Perang Dunia Pertama yang tercetus pada tahun 1914-1918 berakhir dengan kekalahan Jerman dan sekutunya. Di Perancis, Persidangan Damai Paris telah mencapai kesepakatan melalui Deklarasi Empat Belas Perkara Woodrow Wilson. Deklarasi ini telah mencadangkan dua prinsip, iaitu penentuan nasib Negara oleh rakyat sendiri dan prinsip sempadan Negara berasaskan bangsa. Ekoran itu, empayar Austria-Hungary dan Turki yang mengalami kekalahan telah dibahagi-bahagikan serta menyebabkan pelbagai golongan etnik dan bangsa tersebut beroleh kemerdekaan.
Oleh itu, muncullah Negara bangsa yang baharu. Tujuh Negara bangsa baharu yang muncul di Eropah ialah Czechoslovakia, Estonia, Finland, Latvia, Lithuania, Poland dan Yugoslavia. Negara Itali dan Jerman merupakan contoh Negara bangsa pada abad ke-19
Keruntuhan Sistem Feudal
Sistem feudal dan keinginan raja untuk menegakkan kembali kuasanya telah mendorong pembentukan negara bangsa. Sistem ini telah wujud di Eropah sejak keruntuhan empayar Rom pada abad ke-5 Masihi. Hal ini telah menimbulkan susunan masyarakat yang berperingkat-peringkat seperti Raja, Vassal (golongan bangsawan) dan Serf (petani dan rakyat biasa). Raja memiliki semua tanah dalam negara dan baginda berperanan melindungi golongan bawahannya. Baginda telah memberikan tanah kepada golongan bangsawan (Lord) atau Vassal sebagai tanda taat setia kepadanya. Sebahagian daripada hasil tanaman pula diberikan kepada raja sebagai balasan.
Oleh itu, lama-kelamaan kedudukan Vassal semakin kukuh dan kuasa raja pula semakin berkurangan dan terpaksa bergantung pada sokongan kepada kebanyakan Vassalnya. Kesedaran raja untuk menegakkan semula kuasanya telah menyebabkan raja menubuhkan pasukan tentera dan berperang dengan Vassal-vassalnya. Hal ini telah menyebabkan berlakunya proses penyatuan kawasan persekitaran yang biasanya didiami oleh kelompok masyarakat daripada bangsa yang sama.
Kesannya, sistem feudal tidak lagi diterima oleh masyarakat Eropah. Sebagai contoh, di England, Raja Henry VII telah Berjaya menggubal undang-undang baharu yang melarang golongan feudal memakai pakaian khas, melarang menubuhkan tentera sendiri dan melarang mempunyai lambang kuasa khas.
Kesan Perang Salib
Perang Salib telah membawa kesan yang penting kepada proses pembentukan negara bangsa. Perang ini berlaku antara orang Kristian di Eropah dengan Orang Islam di Timur Tengah selama 200 tahun (1095-1291). Tujuan utama orang Kristian berperang dalam Perang Salib adalah untuk membebaskan Baitulmuqaddis dan Palestin daripada orang Islam.
Paus (Pope) yang merupakan ketua agama Kristian telah meminta pemimpin Negara Eropah untuk membantu membebaskan tanah suci orang Kristian itu. Pemerintah-pemerintah di Eropah telah mendapatkan bantuan ketenteraan daripada Vassal untuk menyumbangkan tenaga Serf sebagai tentera.
Hal ini telah menyebabkan kekuatan ketenteraan Vassal semakin berkurangan, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan Serf yang pulang daripada medan peperangan tidak kembali kepada Vassal. Mereka berkunjung ke bandar-bandar dan peluang ini telah digunakan oleh raja-raja untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Raja-raja telah melaksanakan ekspedisi-ekspedisi ketenteraan untuk membawa Vassal ke bawah kekuasaannya dalam usaha membentuk negara bangsa.
Perkembangan Bandar
Perkembangan bandar dan peranan bandar yang menjadi pusat pembangunan, terutama dalam membangunkan ekonomi telah mengubah sistem ekonomi tradisional yang lebih mementingkan pertanian.
Perang Salib telah membawa kepada pembentukan bandar-bandar baharu dan kemunculan bandar-bandar lama semula. Ekonomi bandar berkembang pesat dengan bertambahnya penduduk dan penggunaan wang. Oleh itu, golongan Serf mula berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan, manakala askar-askar yang kembali dari medan peperangan juga tidak pulang ke kampung mereka.
Hal ini telah melemahkan kekuasaan Vassal yang bergantung pada penguasaan tanah serta kesetiaan Serf di tanah kawalan mereka. Kemerosotan kuasa Vassal telah menambahkan kuasa dan pengaruh raja yang Berjaya meluaskan kekuasaannya ke seluruh negeri.
Kemunculan Golongan Pertengahan
Kemunculan golongan pertengahan di bandar akibat kemajuan pesat dalam ekonomi perdagangan dan perindustrian telah menyebabkan golongan ini menyokong pemerintah yang kuat, yang boleh menguatkuasakan undang-undang dan peraturan untuk menjamin kestabilan dan kemakmuran negara.
Mereka memerlukan perlindungan daripada sebuah kerajaan pusat yang berkesan. Oleh itu, mereka sanggup membayar cukai bagi mendapatkan kestabilan politik untuk menjalankan perdagangan dan perniagaan.
Kepentingan dan pengaruh golongan bangsawan atau Vassal telah digantikan oleh golongan pertengahan dan pengusaha justeru, raja kini boleh mengumpul lebih banyak wang melalu percukaian yang dikenakan terhadap golongan bangsawan. Sebagai balasan, raja dapat menggaji tentera dan pegawai perkhidmatan awam untuk memberikan perlindungan kepada kelas pertengahan dan bentuk kerajaan yang mereka perlukan.
Kemajuan Ekonomi dan Institusi Kebangsaan
Penubuhan institusi kebangsaan juga memainkan peranan penting dalam pembentukan Negara bangsa. Kemajuan perdagangan dan ekonomi akibat Perang Salib menyebabkan sistem feudal tidak dapat memenuhi keperluan penduduk Eropah seperti menjamin keamanan dan menyediakan kemudahan awam, khususnya di kawasan bandar.
Raja-raja di England dan Perancis melihat perkembangan ini sebagai memberi peluang kepada mereka untuk meluaskan kuasa dan kawalan.
Mereka mula membentuk institusi-institusi kebangsaan bagi sebuah kerajaan, antaranya pentadbiran pusat, tentera kebangsaan dan undang-undang kebangsaan. Kesemua institusi ini merupakan permulaan negara bangsa dan membawa kepada kemerosotan sistem feudal.
Perkembangan Bahasa Kebangsaan
Pembentukan negara bangsa juga dibantu oleh perkembangan bahasa kebangsaan. Pada Zaman Renaissance (yang wujud selepas Perang Salib berakhir), buku-buku tidak lagi ditulis dalam bahasa Latin tetapi dalam bahasa pertuturan masyarakat berkenaan.
Situasi ini berlaku berikutan penciptaan mesin pencetak. Hal ini juga menyebabkan penduduk di kawasan pedalaman Perancis mula bercakap serta berfikir seperti orang Perancis dan akhirnya berjaya mewujudkan identiti yang sama untuk penduduk sesuatu wilayah.
Karya yang dihasilkan menggunakan bahasa kebangsaan dan bukannya bahasa dialek tempatan. Situasi ini berjaya menarik minat rakyat untuk membaca dan memudahkan lagi usaha menyatukan rakyat dan penubuhan negara bangsa.