Please enable JavaScript.
Coggle requires JavaScript to display documents.
Implikasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kepada…
Implikasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kepada perkembagan pendidikan
Pegawai
Kementerian
Pegawai Kementerian akan bertindak sebagai pemimpin perubahan, dengan kemahiran dan atribut yang diperlukan untuk menyokong sekolah. Mereka akan menjadi pengurus, pembimbing dan penyokong kecemerlangan sekolah yang lebih baik. Mereka akan mendapat manfaat daripada meritokrasi yang lebih besar, lebih kuasa dengan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi, dan tidak akan terbatas dengan hierarki dan kawalan.
Pegawai Kementerian akan bekerja dalam persekitaran yang telus dan saling bekerjasama.
Cara bekerja secara tersendiri dalam bahagian-bahagian Kementerian akan dihapuskan, manakala peranan dan tanggungjawab akan diperkemas untuk menghapuskan duplikasi fungsi dan aktiviti. Maklumat akan dikongsi secara cekap untuk membuat keputusan berasaskan bukti. Cara keputusan dibuat akan lebih jelas.
Pegawai Kementerian akan mempunyai keluwesan pengoperasian dan kebertanggungjawaban yang lebih besar
Sistem pendidikan akan beralih ke arah pemencaran kuasa dengan lebih banyak hak membuat keputusan akan diberikan kepada pegawai peringkat negeri dan daerah. Pegawai akan mempunyai hak yang lebih besar dalam mengenal pasti bidang penambahbaikan di negeri, daerah dan sekolah bawah kendalian mereka. Mereka juga mempunyai hak yang lebih besar dalam menyediakan penyelesaian yang spesifik kepada konteks
Pegawai Kementerian akan menerima sokongan, latihan dan sumber yang bersasaran yang diperlukan untuk memenuhi peranan dan tanggungjawab baharu mereka.
Mereka akan mempunyai peranan baharu yang memfokuskan pada menyokong sekolah, dan akan mempunyai akses kepada lebih banyak peluang perkembangan profesional. Mereka akan terlibat dalam perbincangan maklum balas konstruktif yang memfokuskan pembelajaran dan pembangunan, bukannya menyalahkan dan memberi hukuman.
Ibu bapa
Ibu bapa akan menyaksikan penambahbaikan yang ketara dan lestari dalam pengalaman pendidikan anak-anak mereka. Prestasi dan keutamaan sekolah akan lebih telus, dan ibu bapa akan sentiasa dimaklumkan tentang keadaan anak mereka di sekolah dari segi pencapaian dan juga perkembangan. Ibu bapa akan berperanan seperti rakan kongsi sebenar dengan sekolah dalam membantu pembelajaran anak mereka.
Ibu bapa akan lebih memahami tentang kemajuan anak mereka, dan bagaimana mereka boleh membantu meningkatkannya.
Mereka akan berhubung secara tetap dengan guru, dan bukannya ketika timbul masalah sahaja. Mereka akan mempunyai akses penuh terhadap prestasi anak mereka dalam peperiksaan kebangsaan dan pentaksiran berasaskan sekolah. Mereka akan diberikan bimbingan, iaitu daripada petua keibubapaan hinggalah kepada kelas pendidikan dewasa tentang bagaimana memberikan sokongan terbaik kepada pembelajaran dan kemajuan anak mereka.
Ibu bapa akan mempunyai lebih banyak peluang untuk memberikan input kepada strategi penambahbaikan sekolah anak mereka.
Mereka mempunyai hak untuk tahu sepenuhnya tentang misi sekolah, prestasi terkini dan program penambahbaikan tahunan. Melalui PIBG, mereka boleh memberikan input dalam perkara seperti kualiti guru dan kurikulum. Komitmen mereka terhadap anak dan sekolah akan disambut baik dan dihargai.
Murid
Murid akan mendapat manfaat yang signifikan dalam perkembangan pendidikan mereka tanpa mengira latar belakang. Murid akan belajar dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif, dan akan berasa terangkum dan terdidik dengan pengalaman pembelajaran di sekolah. Apabila menamatkan persekolahan, murid akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran bertaraf dunia, nilai moral yang tinggi, dan berupaya bersaing dengan rakan sebaya dari negara lain.
Murid akan mempunyai pembelajaran yang kaya, dari segi akademik dan bukan akademik supaya mereka boleh berjaya dalam kehidupan.
Lebih banyak projek dan tugasan berasaskan kumpulan akan dilakukan bagi meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi murid dan keupayaan untuk bekerja secara individu dan berkumpulan. Lebih banyak projek berasaskan komuniti dan aktiviti rentas sekolah akan dilakukan bagi memupuk interaksi dengan individu dari semua latar belakang. Murid akan mempunyai lebih banyak peluang untuk belajar pada kadar kendiri dan mengejar minat mereka dalam aliran akademik, vokasional dan teknikal.
Murid akan mempunyai lebih hak bersuara dalam membentuk pengalaman belajar mereka.
Guru akan bekerjasama dengan murid dan ibu bapa bagi menetapkan sasaran pembelajaran. Guru juga akan menggalakkan murid menyuarakan pendapat mereka supaya guru tahu gaya pembelajaran yang terbaik untuk setiap murid.
Murid akan belajar dalam persekitaran yang mempunyai kepercayaan asas bahawa semua murid boleh belajar, dan semua murid boleh berjaya.
Guru akan mempunyai harapan yang tinggi terhadap murid tanpa mengira latar belakang dan pencapaian terdahulu, dan akan membekalkan murid dengan sokongan yang perlu bagi memenuhi harapan ini.
Pemimpin sekolah
Pemimpin sekolah akan menjadi pemimpin instruksional yang cemerlang, dan bertindak sebagai ejen perubahan. Mereka akan menikmati sokongan yang lebih padu dan perkhidmatan yang lebih baik daripada pegawai pendidikan persekutuan, negeri dan daerah. Mereka akan mendapat akses yang lebih besar terhadap latihan kepimpinan bertaraf antarabangsa, serta amalan terbaik daripada rakan sejawatan mereka di Malaysia.
Pemimpin sekolah akan menikmati persekitaran bekerja yang lebih baik dan ganjaran berasaskan prestasi.
Pengetua/guru besar, penolong kanan, ketua bidang dan juga semua ketua panitia akan bekerja di sekolah yang mempunyai kemudahan yang mencukupi. Beban pentadbiran pula dikurangkan supaya mereka boleh menumpukan tenaga kepada kepimpinan instruksional. Mereka akan menikmati ganjaran berasaskan prestasi yang menarik termasuk perkembangan kerjaya yang lebih pantas dan “kredit tambahan” bagi kecemerlangan dalam program penempatan di sekolah luar bandar dan pedalaman yang berprestasi rendah.
Pemimpin sekolah akan diberi kuasa melalui pengurusan berasaskan sekolah yang lebih tinggi.
Mereka akan mempunyai keluwesan pengendalian yang setara dengan prestasi sekolah mereka dalam perkara seperti penjadualan kurikulum dan peruntukan bajet. Mereka akan menjalinkan kerjasama profesional bersama PPD bagi mendapatkan input untuk sasaran prestasi tahunan, dan akan menikmati ketelusan yang lebih tinggi berkaitan keputusan yang memberikan kesan kepada sekolah mereka.
Pemimpin sekolah akan mendapat sokongan dan sumber yang mereka perlukan bagi memacu sekolah dengan berkesan.
Mereka akan menjalani kursus persediaan, induksi dan latihan berterusan yang lebih baik bagi membantu meningkatkan kemahiran kepimpinan. Mereka akan menerima maklum balas yang lebih cepat daripada PPD berkaitan isu yang dihadapi, daripada penempatan pembimbing pengetua hinggalah kepada peruntukan sumber tambahan, jika sekolah amat memerlukannya.
Guru
Guru akan meningkatkan keupayaan bertaraf dunia yang diperlukan bagi membantu mencapai keberhasilan murid yang dihasratkan, dan akan memperoleh lebih keseronokan dan kepuasan dalam menjalankan tugas mereka. Dengan pakej kerjaya guru yang baharu, mereka akan menikmati perkembangan profesional yang lebih memuaskan, laluan kerjaya yang lebih baik, dan proses penilaian yang telus dan adil serta berkait terus dengan keupayaan dan prestasi yang relevan.
Guru akan menikmati persekitaran kerja yang lebih sesuai, ganjaran berasaskan prestasi dan laluan kerjaya yang lebih baik.
Mereka akan melaksanakan tugas di sekolah yang mempunyai kelengkapan yang cukup, dan persekitaran kerja yang sesuai. Beban pentadbiran guru akan dikurangkan supaya mereka boleh menumpukan tenaga pada aktiviti teras, iaitu pengajaran dan pembelajaran. Guru akan menikmati ganjaran berasaskan prestasi yang menarik termasuk perkembangan kerjaya yang lebih pantas dan boleh mengembangkan minat mereka mengikut laluan kerjaya yang berbeza: pengajaran, kepimpinan, dan kepakaran mata pelajaran.
Guru akan didedahkan dengan budaya kerjasama dan kecemerlangan profesional.
Guru akan saling bekerjasama dalam menangani isu dan berkongsi amalan terbaik. Mereka mempunyai keluwesan pedagogi yang lebih besar dalam bilik darjah dalam usaha memastikan setiap murid belajar.
Guru akan mendapat sokongan yang diperlukan untuk berjaya.
Guru akan mempunyai lebih akses kepada peluang pembangunan profesional berasaskan sekolah. Mereka akan mengambil bahagian dalam perbincangan dan dialog yang memberikan maklum balas konstruktif, tertumpu kepada pembelajaran dan pembangunan diri bukannya bersifat menyalahkan dan hukuman supaya aspek penambahbaikan boleh dijadikan bidang kekuatan.