Pastikan semua dapat akses sama rata vaksin COVID-19 - Suhakam
KUALA LUMPUR: Kerajaan harus memastikan semua rakyat memperoleh akses sama rata kepada vaksin COVID-19.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Dr Madeline Berma berkata, jika tidak 'diselenggara' dengan baik, kemungkinan besar akan wujud satu lagi kesenjangan seperti jurang digital sebelum ini.
"Yang dikhuatirkan sekarang, sekiranya benda ini terpaksa dibeli, memang akan wujud satu lagi kesenjangan seperti jurang digital yang pernah berlaku sebelum ini. Takut akan berlaku jurang COVID-19 pula," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
Ekoran itu, Madeline berharap, isu itu akan didebatkan di Parlimen nanti untuk menemui satu formula terbaik bagi memberi hak sama rata kepada semua rakyat.
"Bagi mereka yang mampu, mereka tentunya boleh membeli secara langsung, mungkin daripada syarikat itu sendiri.
"Yang menjadi persoalan dan perkara yang perlu dititikberatkan oleh kerajaan adalah mereka yang berada di luar bandar dan tidak mampu.
"Bagaimana mengagihkan seramai mungkin dan mendapat akses kepada vaksin. Kita tidak mahu menjadi tempat untuk dilakukan ujian," katanya lagi.