24.APAKAH PERBEZAAN MAHRAM SEMENTARA DAN MAHRAM SELAMA LAMANYA?
Larangan sementara (Muaqqat) ialah larangan untuk tempoh masa atau keadaan tertentu. Apabila keadaan berubah, hukum larangan itu pun terbatal.
Seorang lelaki diharamkan mengahwini adik atau kakak kepada isterinya (iparnya) selagi mana isterinya masih ada. Melainkan selepas berpisah dengan isterinya. Walaupun begitu, batas pergaulan dengan mahram sementara (Muaqqat) sama seperti hukum dengan bukan mahram.
Termasuk bukan mahram ialah sepupu(anak kepada emak/bapa saudara), walaupun ia seperti berada dalam senarai pertalian darah. Meskipun di beberapa negeri Islam ada 'urf yang melarang seseorang berkahwin dengan sepupu, tetapi itu bukan bererti berkahwin dengan sepupu itu tidak dibenarkan mengikut syarak, kerana syarak lebih tinggi daripada 'urf.
Larangan kekal (Muabbad) ialah larangan untuk selama-lamanya disebabkan oleh tiga perkara iaitu pertalian darah, susuan, atau perkahwinan.
Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan). (Surah An-Nisaa’ : Ayat 22) [2]
"Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut):
ibu-ibu kamu, dan
anak-anak kamu, dan
saudara-saudara kamu, dan
saudara-saudara bapa kamu, dan
saudara-saudara ibu kamu dan
anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan
anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan
ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan
saudara-saudara susuan kamu, dan
ibu-ibu isteri kamu, dan
anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).
Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu.
Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.
Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah An-Nisaa’ : Ayat 23) [3]