Please enable JavaScript.
Coggle requires JavaScript to display documents.
Ciri-ciri dan keistimewaan Islam dalam tasawwur - Coggle Diagram
Ciri-ciri dan keistimewaan Islam dalam tasawwur
Rabbani (Ketuhanan)
Segala hukum, konsep, nilai dan peraturan yang terdapat di dalam Islam adalah ditetapkan dan diwahyukan oleh Allah s.w.t.
Ia bukan hasil pemikiran manusia.
Manusia tidak ada hak untuk mencampur urusan ketuhanan seperti penentuan hukum haram, halal, dosa, pahala, nilai baik, buruk, jahat dan sebagainya.
Manusia dalam hal ini hanyalah untuk mengkaji dan mengenal pasti hukum Allah dalam sesuatu perkara.
Manusia perlu melaksanakannya dalam kehidupan mereka
Sesungguhnya Kami telah turunkan kepada kamu kitab (al-Qur’an) dengan kebenaran, maka taatlah kepada Allah dengan penuh keikhlasan kepada-Nya, ingatlah bahawa agama yang bersih (benar) itu adalah milik Allah.
(Surah al-Zumar: 2 – 3)
Waq’iyyah (Realistik)
Waq’iyyah bermaksud ajaran Islam bersifat praktikal dan realistik iaitu bersesuaian dengan realiti kehidupan manusia. Ajaran Islam sentiasa seiring dengan kenyataan hidup manusia.
Dalam menetapkan sesuatu hukum atau peraturan, Islam sentiasa mengambil kira realiti semasa, setempat dan adat yang diamalkan.
Islam tidak membebankan manusia dengan hukuman yang tidak realistik sehingga manusia tidak mampu menunaikannya.
Misalnya, Islam tidak memerintahkan manusia untuk beribadat sepanjang masa sehingga mengabaikan kerja-kerja harian untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Malah, kerja-kerja harian ini jika dilakukan dengan betul dan memenuhi syarat-syaratnya, turut dianggap sebagai ibadat dan pelakunya diberi pahala yang banyak.
Dan Allah melebihkan sesetengah daripada kamu ke atas yang lain (dari segi anugerah) rezeki.
(Surah al-Nahl: 71)
Namun begitu, Islam juga memerintahkan agar manusia yang dianugerahkan dengan kelebihan rezeki itu tidak melupai golongan yang kurang bernasib baik. Realiti dalam kehidupan manusia menunjukkan bahawa sentiasa terdapat golongan miskin dan kurang bernasib baik yang perlu dibantu. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan anda berzakat dan memberikan pahala/ganjaran yang besar kepada mereka yang bersedekah.
Ringkasnya, semua bukti menunjukkan bahawa Islam adalah realistik, malah telah berjaya diamalkan dengan baik sehingga Islam dapat membina tamadun yang cemerlang
Tawazun (Keseimbangan)
Ajaran Islam memberikan perhatian yang seimbang kepada semua aspek kehidupan manusia; dari segi individu dan masyarakat, rohani dan jasmani, kebendaan dan kerohanian serta dunia dan akhirat.
Islam tidak membenarkan umatnya mementingkan diri sehingga mengabaikan kepentingan masyarakat dan begitu juga sebaliknya.
tidak membenarkan umatnya mementingkan aspek kerohanian semata-mata sehingga mengabaikan aspek jasmani dan kebendaan
seseorang tidak dibenarkan beribadat sepanjang masa sehingga mengabaikan keperluan menjaga kesihatan tubuh badan atau mencari rezeki yang halal
umat Islam tidak dibenarkan mencari rezeki sehingga mengabaikan kepentingan beribadat kepada Allah
Islam juga tidak membenarkan penganutnya mementingkan aspek kehidupan dunia sehingga mengabaikan kehidupan akhirat
Islam memerintahkan agar kesemua aspek hidup manusia mestilah digabungkan dalam satu gabungan yang seimbang, harmonis dan sepadu supaya kehidupan manusia menjadi sempurna dan sejahtera.
… apabila kamu diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkan jual-beli. Itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui. Apabila solat telah dilakukan maka bertaburanlah kamu di muka bumi, carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.
(Surah al-Jumu’ah: 9 – 10)
Al-Thabat wa al-Murunah (Tetap dan anjal)
Thabat bermaksud tetap atau tidak berubah. Dalam konteks ajaran Islam, ada perkara yang telah tetap dan tidak boleh dipinda dan diubah-ubah dasar, prinsip dan perlaksanaannya. Antara perkara yang termasuk dalam konsep thabat adalah aspek akidah dan hukum-hakam amaliyyah yang dinyatakan secara qat’i (pasti) dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
Konsep al-thabat dalam aspek akidah dapat dilihat dari segi kepercayaan terhadap Allah s.w.t. yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Perkara-perkara berkaitan akidah adalah tetap dan tidak boleh dipinda atau diubah-ubah.
Selain itu, hukum jenayah yang diwajibkan dalam al-Qur’an dan al-Hadith seperti hukum hudud dan qisas tidak boleh diubah-ubah perlaksanaannya. Begitu juga hukum haram bagi perkaraperkara yang dijelaskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah seperti khinzir, minum arak, berjudi dan riba.
Perkara-perkara ini ditentukan secara qat’i dan tidak mungkin berubah sampai bila-bila. Perkara-perkara seperti inilah yang termasuk dalam konsep al-thabat.
Al-Murunah (anjal) pula bermaksud bahawa selain daripada perkara-perkara pokok dan dasar yang tidak boleh berubah, terdapat juga perkara-perkara ranting dan cabang yang boleh berubah mengikut kesesuaian dengan perubahan maslahah manusia sepanjang peredaran zaman.
Hal ini menjadikan agama Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t. sentiasa sesuai dan bersifat senang dan mudah untuk diamalkan. Islam mementingkan kemudahan dan tidak sesekali menyusahkan umatnya dalam mengamalkan segala ajarannya.
Sebagai contoh, solat adalah wajib dan perlu dilaksanakan mengikut ketetapan rukun. Walaubagaimanapun, jamak dan qasar dibenarkan dalam solat sekiranya seseorang itu bermusafir. Ini terbukti bahawa hukum Islam tidak statik, sebaliknya bersifat anjal dan fleksibel dengan memberi keutamaan kepada keselesaan penganutnya.
Ciri menjaga kepentingan manusia ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Allah tidak sesekali memberatkan seseorang itu kecuali dengan kadar upayanya. Baginya (pahala) bagi kebaikan yang dikerjakannya, dan keatasnya (dosa) bagi kejahatan yang dikerjakannya. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau seksa kami atas apa yang kami terlalai atau silap padanya. Ya Tuhan kami, Janganlah Engkau pikulkan pekerjaan yang berat ke atas kami sebagaimana yang Engkau bebani ke atas mereka yang sebelum daripada kami.
(Surah al-Baqarah: 286)
Syumul (Menyeluruh)
Islam merupakan agama yang sempurna dan menyeluruh serta mencakupi segala aspek kehidupan setiap manusia.
Allah s.w.t. memiliki segala sifat kesempurnaan dan pengetahuan. Semua aspek kehidupan manusia dijelaskan dan diberikan panduan oleh Allah s.w.t. dalam wahyu-Nya.
Islam mempunyai peraturan hidup yang serba lengkap, merangkumi semua aspek kehidupan manusia
segi kepercayaan, pemikiran, akhlak, ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan, alam sekitar, kesihatan dan lain-lain
perjalanan hidup manusia akan berterusan manakala wahyu al-Qur’an dan al-Hadith pula terhenti dengan kewafatan Rasulullah s.a.w.
Dan kami turunkan ke atas engkau kitab (al-Qur’an) sebagai penjelasan bagi semua perkara.
(Surah al-Nahl: 89)
‘Alamiyyah (Sejagat)
‘Alamiyyah bermaksud Islam merupakan agama yang universal, tidak terikat dengan masa, tempat dan ruang. Malah, Islam sesuai untuk semua manusia, setiap bangsa dan tidak terbatas pada masa-masa tertentu. Aspek ‘alamiyyah merangkumi tiga bidang utama iaitu syariah, akhlak dan akidah.
Semua manusia tanpa mengira bahasa, warna kulit dan bangsa mempunyai kedudukan yang sama di sisi Allah s.w.t. Tidak ada bangsa yang lebih mulia daripada bangsa lain kerana faktor bangsa atau warna kulit atau bahasa semata-mata.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:Sesungguhnya yang terlebih mulia daripada kalangan kamu ialah yang paling bertakwa.
(Surah al-Hujurat: 13)
Manifestasi kesejagatan Islam bukan sahaja meliputi sesama manusia, malah merangkumi makhluk yang lain. Allah s.w.t. bukanlah Tuhan bagi manusia sahaja, malah Allah s.w.t. juga merupakan Tuhan bagi makhluk yang lain. Oleh itu, ajaran Islam diturunkan bukan sahaja untuk menjaga kebahagiaan dan kebajikan makhluk manusia sahaja, tetapi juga makhluk yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Dalam hal ini, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:“Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai (membawa) rahmat ke seluruh alam”.
(Surah al-Anbiya’:107)
Wasatiyyah (Kesederhanaan)
Wasatiyyah ialah elemen yang sangat penting dalam Islam. Islam menolak semua unsur ekstremisme dalam kehidupan manusia. Sikap melampau bukan sahaja ditegah dalam aspek kehidupan di dunia seperti pemakanan, mengumpul harta dan sebagainya. Malahan, dalam aspek keakhiratan seperti beribadat dan berzikir, sekiranya dilakukan secara melampau, juga tidak dibenarkan.
Islam amat menitikberatkan kesederhanaan dalam semua perkara kerana sifat kesederhanaan ini sesuai dengan fitrah manusia.
Dalam aspek pemakanan umpamanya, Allah s.w.t. menyuruh manusia makan dan minum dari makanan dan minuman yang baik. Namun pada masa yang sama juga Allah s.w.t. mengingatkan manusia agar tidak melampaui batas.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:… dan makanlah dan minumlah dan (tetapi) jangan kamu melampaui batas kerana Ia (Allah) tidak suka orang yang melampaui batas.
(Surah al-A’raf: 31)
Melampaui batas dalam apa jua aktiviti sekalipun, termasuk dalam pemakanan merupakan sesuatu yang membahayakan diri manusia. Hal ini termasuk melakukan ibadat. Sikap melampaui batas dalam beribadat akhirnya akan menyebabkan seseorang berasa susah, tertekan dan akhirnya menjadi jemu.
Rasulullah s.a.w. mengingatkan umat Islam dalam sabdanya yang bermaksud:Lakukan amalan ibadat (sunat) sekadar yang kamu mampu, kerana Allah s.w.t. tidak jemu sehingga kamu sendiri nanti yang akan jemu.
(HR. al-Bukhari)
Umat Islam mesti bersederhana dalam melaksanakan akidah Islamiyyah. Ertinya beriman kepada semua rukun iman secara sederhana sahaja dan tidak benar-benar yakin. Keimanan kepada Allah dan semua rukun iman mestilah dilakukan dengan penuh yakin tanpa sebarang keraguan. Keimanan yang tidak kukuh dan ragu-ragu tidak diterima oleh Allah s.w.t.