1)Masjid merupakan tempat ibadah kaum muslimin yang mempunyai peranan tertentu untuk kemajuan peradaban umat Islam. Sejarah telah membuktikan multi fungsi masjid berabad lamanya bermula dari zaman Rasulullah SAW.
2)Menelusuri sirah, kita dapat melihat bahawa Nabi Muhammad SAW bukan sahaja menjadikan Masjid Nabawi sebagai pusat ibadah, malah juga sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran Negara Islam Madinah.
3)Masjid Nabawi menjadi nadi pergerakan Islam, penggerak aktiviti masyarakat, malah tempat rakyat menuntut hak dan keadilan. Masjid Nabawi juga turut berperanan sebagai pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.
4)Dengan fungsi-fungsi tersebut, terbukti Rasulullah SAW telah berjaya menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai al-Deen (cara hidup) melalui fungsi-fungsi komprehensif yang dijana oleh institusi Masjid.
5)Perkara ini jelas menunjukkan bahawa masjid bukan sahaja tempat untuk melakukan solat, bahkan mempunyai peranan yang lebih luas atau boleh dibiaskan sebagai suatu tempat untuk menyebarkan dakwah dari segenap aspek dan sudut kerohanian kepada masyarakat.