Part 2
Kesilapan Farhani melangkah kakinya ke alam dimensi kerajaan kumbang menyebabkan dia telah ditawan oleh tentera Komander Caucasus. Farhani telah dibawa oleh kumbang Bara untuk menghadap Maharaja Tanduk di sebuah istana. Selepas itu, Farhani juga telah dikurung di dalam sebuah tabung uji bersaiz besar di sebuah makmal rahsia Komander Caucasus yang akan menjadikannya sebagai bahan uji kaji untuk mencapai impian Komander Caucasus menakluki dunia dan menguasai manusia. Di makmal rahsia itu, Farhani telah bertemu secara tidak sengaja dengan Kim Yong yang telah dilaporkan hilang selama sebulan lebih itu.
Komander Caucasus merupakan seekor kumbang yang tamak dan gila kuasa apabila dia dan tenteranya cuba merampas takhta kerajaan kumbang dengan menggulingkan takhta Maharaja Tanduk dan giat memburu Puteri Coleoptera dan para pengikutnya yang sedang bersembunyi. Suatu ketika, berlaku kejadian huru-hara sehingga menyebabkan Bara dan Dara Bintik yang merupakan pengikut Puteri Coleoptera bergegas menyelamatkan diri dengan membawa bersama Farhani dan Kim Yong. Di satu kawasan perkhemahan, Bara dan Dara Bintik telah membawa Farhani dan Kim Yong menghadap Puteri Coleoptera yang sangat baik dan sopan. Puteri Coleoptera memohon bantuan mereka berdua untuk menumpaskan Komander Caucasus yang kejam dan tidak berhati perut itu.
Sementara itu, ketika Haikal, Devnath dan Wei mencari jejak kehilangan Farhani di ruang bawah tanah rumah lama itu, mereka telah memasuki dimensi kerajaan kumbang sehingga mereka ditangkap oleh tentera kumbang Bara. Selepas tersedar daripada pengsan, mereka terkejut apabila mendapati mereka menjadi tawanan kumbang yang bersaiz besar di sebuah kawasan hutan. Mereka juga terkejut kerana telah bertemu semula dengan Farhani dan Kim Yong di situ yang berada dalam keadaan selamat. Farhani dan Kim Yong meyakinkan mereka bertiga bahawa kumbang-kumbang itu berhati baik dan merupakan sahabat mereka berdua. Sekali lagi kumbang Bara meminta bantuan daripada mereka berlima untuk membantu Puteri Coleoptera dan pengikutnya menewaskan Komander Caucasus dan tenteranya.Tiba-tiba, mereka mendapat maklumat bahawa tempat persembunyian mereka itu telah dikesan oleh tentera Caucasus sehingga menyebabkan Puteri Coleoptera, semua pengikutnya, Farhani, dan empat orang rakannya terpaksa meninggalkan tempat itu. Setelah menempuh perjalanan yang memenatkan, akhirnya mereka tiba di tempat persembunyian baharu. Lima buah khemah berjaya didirikan. Tidak lama kemudian, tempat persembunyian mereka telah diserang hendap oleh tentera Komander Caucasus setelah mendapat maklumat daripada si pembelot, Dara Bintik.
Dalam serang hendap itu, Haikal, Devnath dan Wei telah ditangkap sekali lagi dan ditawan oleh tentera Komander Caucasus bersama-sama dengan Puteri Coleoptera dan Bara. Namun dalam serangan hendap itu, Farhani dan Kim Yong berjaya menyembunyikan diri masing-masing. Maharaja Caucasus yang telah menaiki takhta kerajaan kumbang dengan cara menggulingkan Maharaja Tanduk itu berasa amat marah apabila Kim Yong dan Farhani gagal ditangkap. Maharaja Caucasus mengarahkan tenteranya segera mencari Kim Yong dan Farhani yang amat diperlukan untuk dijadikan bahan uji ka|i bagi mencapai impiannya menakluki dunia dan manusia.
Pada suatu malam, Dara Merah, Farhani, Kim Yong, kunang-kunang, dan pengikut mereka telah menyusun strategi untuk menumpaskan Komander Caucasus dan tenteranya melalui penggunaan cecair Endosulfan sekali gus membebaskan semua tawanan yang dipenjarakan oleh Komander Caucasus. Akhimya, strategi yang telah dirancang itu digunakan pada satu tengah malam. Mereka berjaya menewaskan Komander Caucasus yang kejam dan para tenteranya sekali gus berjaya membebaskan Puteri Coleoptera, Bara, Maharaja Tanduk dan tiga orang rakannya, Haikal, Wei dan Devnath yang telah dikurung itu dengan selamat. Manakala, Komander Caucasus, Dara Bintik dan para tenteranya telah dikurung.